Thursday, May 19, 2016

Apa itu 'Kokurikulum'?


1. EJAAN KOKURIKULUM

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010, 2005), perkataan kokurikulum dieja rapat dan tidak ada tanda sengkang (-) seperti ko-kurikulum. Berikut adalah takrifan hasil carian kokurikulum yang boleh didapati dalam kamus tersebut:


Kata
Takrif
kokurikulum
kurikulum yang merupakan sebahagian daripada kurikulum asas, kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah misalnya; kegiatan dalam persatuan-persatuan, kegiatan kesukanan dan lain-lain.


2. DEFINISI KOKURIKULUM

2.1 Kurikulum Kebangsaan 1997:

“Kokurikulum adalah sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan"

di mana Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan, untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan."

2.2 Warta Kerajaan No. 5652 (Peraturan Kursus Pengajian) Sekolah 1956 bertarikh 28hb Disember 1967:

“Kokurikulum sebagai kegiatan kumpulan”

2.3 Warta Kerajaan Jilid 41, No 26, Tambahan No. 94 Perundangan A.P.U (A) 531, Akta Pendidikan 1996, Peraturan-Peraturan (Kurikulum Kebangsaan) bertarikh 31hb Disember 1997:
“Kegiatan kokurikulum ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid  peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran  dan nilai yang dipelajari di bilik darjah”

3. FUNGSI-FUNGSI KOKURIKULUM

3.1 Pengukuhan dan Pengayaan

Pengetahuan yang diperoleh daripada mata pelajaran akademik dapat diperkukuhkan dan diamalkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti ini juga dapat memberi peluang kepada murid-murid memahami konsep latihan dalam bidang tertentu dengan menggunakan pengetahuan tersebut dalam konteks yang lebih bermakna dan realistik. Di samping itu, cara begini juga dapat memberi pengalaman yang mungkin tidak terdapat di dalam bilik darjah. Segala aktiviti kokurikulum hendaklah dirancang terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik darjah. Ini boleh membantu murid-murid meningkatkan lagi prestasi mereka dalam pelajaran.

3.2 Khidmat Masyarakat

Murid, guru dan kakitangan sekolah boleh memberi khidmat kepada masyarakat dan begitulah sebaliknya. Tujuannya adalah untuk memupuk hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

3.3 Hobi dan Rekreasi


Dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, murid dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran, di samping dapat mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah serta membina kesihatan fizikal dan mental. Aktiviti ini juga dapat memberi keseronokan kepada murid. Antara contoh aktiviti ialah membaca, bersukan, berternak, berkebun, menanam bunga, menghias/menggubah, menyanyi, bermain alat-alat muzik, menulis sajak/ cerpen/syair/rencana, melukis kartun, mengumpul setem/daun-daun kayu/ keratan akhbar, membuat model, mengukir dan memancing.

3.4 Kerjaya


Aktiviti kokurikulum dapat memberi asas kerjaya kepada murid. Ia juga dapat membantu dan melengkapi pengajaran dan pembelajaran serta dapat menimbulkan kesedaran dan penyediaan pemilihan kerjaya murid. Pengetahuan dan kemahiran ini sangat berguna apabila mereka memasuki dunia pekerjaan kelak. Aktiviti ini boleh dijalankan secara kumpulan atau individu dan tidak hanya terbatas kepada kemudahan dan peralatan atau kepakaran yang ada di sekolah itu sahaja. Sekolah yang mempunyai masalah ini boleh berusaha mendapatkannya daripada sekolah lain atau masyarakat setempat.

3.5 Perkembangan Diri Individu

Semua aktiviti kokurikulum dapat memberi peluang kepada murid melatih diri sendiri untuk kesihatan diri, berdisiplin, memupuk minat dan bakat serta membina semangat untuk menghayati nilai perpaduan dan kewarganegaraan.

Rujukan:

 
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Buku Panduan Pengurusan Kokurikulum. Bahagian Sekolah: Putrajaya

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1989. Buku Panduan Pengurusan Gerak Kerja Kokurikulum Sekolah Menengah. Bahagian Sekolah-sekolah: Kuala Lumpur:
 

2 comments: